Friday, June 24, 2011

Sufi Road : Berziarah ke Makam Syeh Kuala


Sebuah makam tua di salah satu pantai di kota Banda Aceh. 20 Menit perjalanan kearah Gempong daya melewati reruntuhan saksi dahsyatnya tsunami beberapa tahun silam, ditepi pantai, dan tidak berubah posisi batu nisan walau dilewati air tinggi tsunami.. banyak kesaksian masyarakan mengatakan makam ini naik keatas pd saat itu.

Beliau adalah Syeh Abdurrauf Bin Ali Alfanshuri / Syiah Kuala, (Singkil, Aceh 1024 H/1615 M - Kuala Aceh, Aceh 1105 H/1693 M) adalah seorang ulama besar Aceh yang terkenal. Ia memiliki pengaruh yang besar dalam penyebaran agama Islam di Sumatera dan Nusantara pada umumnya. Sebutan gelarnya yang juga terkenal ialah Teungku Syiah Kuala (bahasa Aceh, artinya Syekh Ulama di Kuala).

Nama lengkapnya ialah Aminuddin Abdul Rauf bin Ali Al-Jawi Tsumal Fansuri As-Singkili[1]. Menurut riwayat masyarakat, keluarganya berasal dari Persia atau Arabia, yang datang dan menetap di Singkil, Aceh, pada akhir abad ke-13. Pada masa mudanya, ia mula-mula belajar pada ayahnya sendiri. Ia kemudian juga belajar pada ulama-ulama di Fansur dan Banda Aceh. Selanjutnya, ia pergi menunaikan ibadah haji, dan dalam proses pelawatannya ia belajar pada berbagai ulama di Timur Tengah untuk mendalami agama Islam. Disebut Syekh Kuala karena Syekh Abdurrauf pernah menetap dan mengajar hingga wa­fatnya dan dimakamkan di Kuala sungai Aceh.Beliau mengajar dan mendirikan madrasah di Kuala Aceh sekembalinya dari berguru di Makkah, Madinah dan Jeddah. Syeikh Abdul Rauf mendapat pendidikan awal dalam lingkungan dayah (sejenis pesantren) yang diasuh oleh ayahandanya, Syeikh Ali. Kemudian ia belajar kepada beberapa ulama di daerah Fansur, Aceh. Beberapa tahun kemudian, beliau berguru dengan seorang tokoh ulama Aceh yang cukup terkenal di zamannya, iaitu Syeikh Syamsuddin Al Sumatra-i di Banda Aceh. Syeikh Abdul Rauf Al-Sinkili lalu merantau ke Tanah Arab pada tahun 1642 dan belajar selama 19 tahun dengan 27 ulama yang ahli dalam berbagai disiplin Ilmu Islam. Beliau merantau hampir ke seluruh Tanah Arab seperti Doha, Yaman, Jeddah, Makkah dan Madinah untuk menimba ilmu. Pengetahuannya mencakupi dalam bidang syariat, fiqh, hadith, ilmu kalam dan tasawuf. Dengan ilmunya yang meluas, beliau dikatakan pernah juga mengajar di Makkah & Madinah, terutama bagi murid-murid yang berasal dari Nusantara


Sekembaliya ke Aceh, beliau bermukim di Kuala sebuah tempat yang jaraknya 15 km dari Banda Aceh. Di tempat ini Syeikh Abdul Rauf Al-Sinkili membuka madrasah dan menjadi tenaga pengajar utama di sana. Banyak murid datang berguru kepadanya, termasuk dari daerah yang cukup jauh. Antara mereka ialah seperti yang dicatat oleh almarhum Ustaz Haji Wan Mohd Saghir,
Baba Daud bin Agha Ismail bin Agha Mustata al-Jawi ar-Rumi. Beliau ini dikatakan berasal daripada keturunan ulama Rom yang berpindah ke Turki, keturunannya pindah pula ke Aceh sehingga menjadi ulama yang tersebut ini. Keturunan beliau pula ada yang berpindah ke Pattani, sehingga menurunkan ulama terkenal iaitu Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani. Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani ini setelah berkhidmat di Mekah dikirim oleh saudara sepupu dan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ke Kota Bharu, Kelantan untuk memimpin Matba’ah al-Miriyah al-Kainah al-Kalantaniyah. Lalu beliau berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, dan dikenali orang dengan gelaran ‘Tok Daud Katib’. Ada pun moyangnya iaitu Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi inilah yang menyempurnakan karya gurunya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang berjudul Turjumanul al-Mutafid atau yang lebih terkenal dengan Tafsir al-Baidhawi Melayu, iaitu terjemah dan tafsir al-Quran 30 juzuk yang pertama dalam bahasa Melayu. Naskhah asli tulisan tangan Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi itu dimiliki oleh keturunannya Tok Daud Katib, lalu naskhah itu diserahkan kepada guru dan saudara sepupunya Syeikh Ahmad al-Fathani. Dari naskhah yang asli itulah diproses oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Idris bin Husein Kelantan sehingga terjadi cetakan pertama di Turki, di Mekah dan Mesir pada peringkat awal. Nama ketiga-tiga ulama itu yang dinyatakan sebagai Mushahhih (Pentashhih) pada setiap cetakan tafsir itu kekal diletakkan di halaman terakhir pada semua cetakan tafsir itu.

Syeikh Burhanuddin Ulakan. Beliau dipercayai orang yang pertama menyebar Islam di Minangkabau (Sumatera Barat) melalui kaedah pengajaran Tarekat Syathariyah.
Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Beliau adalah anak murid Syeikh Abdur Rauf yang dianggap orang pertama membawa Tarekat Syathariyah ke Jawa Barat dan selanjutnya berkembang hingga ke seluruh tanah Jawa.

Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi yang berasal dari tanah Bugis. Ada riwayat menyebut bahawa beliau adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Ini berdasarkan kepada salasilah tarekat syatariyah yang menyebut Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi menerima Tarekat Syathariyah daripada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu. Memang diakui bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi ialah orang pertama menyebarkan Tarekat Syathariyah di Tanah Bugis atau seluruh Sulawesi Selatan. Berdasarkan manuskrip Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri oleh Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khali-fah al-Qadiri al-Bantani ada catatan menyatakan bahawa Syeikh Yusuf al-Mankatsi adalah cucu murid kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri. Catatan tersebut berbunyi, “... kerana kata ini daripada Syeikh Yusuf (al-Mankatsi/al-Maqasari) turun daripada Syeikh Muhyuddin Karang (Pamijahan), turun daripada Syeikh Abdur Rauf al-Asyi”.
Syeikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu atau lebih popular dengan gelar Tok Pulau Manis yang mengarang berbagai-bagai kitab di antaranya Syarah Hikam dan Kitab Kifayah.’[1]
Sebagai seorang sufi, beliau turut mengajar wirid dan zikir Syattariyyah. Beliau mengembangkan tariqah ini sampai ianya tersebar dari Aceh ke seluruh Sumatera dan Jawa sampai sekarang. Beliau banyak menulis kitab dalam bahasa Arab dan sebahagian kecil dalam bahasa Melayu. KItab-kitabnya yang berjaya ditemui setakat ini ialah seperti;

Bidang fiqh:
Mir’at al-Tullâb fi Taysîr al-Ahkâm al-Syar’iyyah li al-Mâlik al-Wahhâb (Cermin para Penuntut ilmu, untuk memudahkan Mengetahui Hukum-hukum Syara’ Tuhan, bahasa Melayu). Bayân al-Arkân (Penjelasan Rukun-rukun, Bahasa Melayu), Bidâyat al-Balîghah (Permulaan yang Sempurna, Bahasa Melayu), Majmû’ al-Masâ’il (Kumpulan Masalah, Bahasa Melayu), Fatîhah Syaikh ‘Abd al-Rauf (Kaedah Bacaan Fatihah Syaikh Abd al-Rauf, Bahasa Melayu), Tanbîh al-‘Amil fî Tahqîq al-Kalâm al-Nawâfil (Peringatan bagi Orang yang Mentahqiqkan Kalam Sembahyang Sunat, Bahasa Melayu), Sebuah Huraian mengenai Niat Sembahyang (Bahasa Melayu), Wasiyyah (tentang Wasiat-Wasiat Abd al-Rauf kepada Muridnya, Bahasa Melayu), Do’a yang Dianjurkan oleh Syekh ‘Abd al-Rauf Kuala Aceh (Bahasa Melayu) dan, Sakaratul Maut (Tentang Hal-hal yang Dialami Manusia Menjelang Ajalnya, Bahasa Melayu)[2]

Bidang Tasawuf: Tanbîh al-Mâsyî al-Mansub ila Tarîq al-Qusyâsyî (Pedoman bagi orang yang Menempuh Tarekat al-Qusyasyi, Bahasa Melayu), ‘Umdat al-Muhtajîn ila Suluk Maslak al-Mufradîn (Pijakan bagi Orang-orang yang Menempuh Jalan Tasawuf, Bahasa Melayu), Sullâm al-Mustafidîn (Tanggapan Setiap orang yang Mencari Faidah, Bahasa Melayu), Piagam tentang Dzikir (Bahasa Melayu), Kifâyah al-Muhtajîn ila Masyârab al-Muwahhidîn al-Qâ’ilîn bi Wahdat al-Wujûd (Bekal bagi Orang yang Memerlukan Minuman Ahli Tauhid Penganut Wahdat al-Wujûd, Bahasa Melayu), Bayân Aqmad al-Masâ’il wa al-Sifat al-Wâjibah li Rabb al-Ard wa al-Samâwât (Penjelasan tentang Masalah-masalah Tersembunyi dan Sifat-sifat Wajib bagi Tuhan Penguasa Langit dan Bumi, Bahasa Melayu), Bayân Tajallî (Penjelasan Tajalli, Bahasa Melayu), Daqâ’iq al-Huruf (Kedalaman Makna Huruf, Bahasa Melayu), Risâlah Adab Murid akan Syaikh (Bahasa Arab dan Melayu), Munyah al-I’tiqâd (Cita-cita Keyakinan, Bahasa Melayu), Bayân al-Itlâq (Penjelasan Makna Istilah Itlâq, Bahasa Melayu), Risâlah A’yân al-Tsâbitah (Penjelasan tentang A’yan Tsabitah, Bahasa Melayu), Risalah Jalan Ma’rifatullah (Karangan tentang Jalan Menuju Makrifat Kepada Allah, Bahasa Melayu), Risâlah Mukhtasarah fi Bayân Syurut al-Syaikh wa al-Murîd (Karangan Ringkas tentang Syarat-syarat Guru dan Murid, Bahasa Melayu), Faidah yang tersebut di dalamnya Kaifiyah Mengucap Dzikir Lâ Ilâha illa Allâh (bahasa Melayu), Syair Ma’rifah (Bahasa Melayu), Otak Ilmu tasawuf (Bahasa Melayu), ‘Umdah al-Ansâb (Pohon Segala Nasab, Bahasa Melayu), Idah al-Bayân fi Tahqîq Masâ’il al-Adyân (Penjelasan dalam Menyatakan Masalah-masalah Agama, Bahasa Melayu), Ta’yid al-Bayan Hasyiyah Idah al-Bayân (Penegasan Penjelasan; Catatan atas Kitab Idah al-Bayan, Bahasa Melayu), Lubb al-Kasyf wa al-Bayân li Ma Yarahu al- Muhtadar bi al-‘Iyân (Hakikat Penyingkapan dan Penjelasan atas apa yang Dilihat Secara Terang-Terangan, Bahasa Arab dan Melayu. Risalah Simpan (Membahas Aspek-Aspek Sembahyang secara Mistis, Bahasa Melayu), dan Syattâriyyah (tentang Ajaran dan Tata Cara Dzikir Tarikat Syattariyah, Bahasa Melayu)[3]
Bidang Tafsir: Tarjuman al-Mustafid bi al-Jawiy, yang merupakan Tafsir Pertama di dunia Islam dalam Bahasa Melayu,

Bidang Hadis: Al-Arba’in Haditsan li al-Imam al-Nawawiyah (Penjelasan Terperinci atas Kitab Empat Puluh Hadis Karangan Imam Nawawi, Bahasa Melayu), Al-Mawaidz al-Badî’ah (Petua-petua Berharga, Bahasa Melayu)[4]

Sebahagian dari karya yang disebut diatas sangat terkenal di Alam Melayu seperti:
Mir'at al-Thullab fî Tasyil Mawa'iz al-Badî''rifat al-Ahkâm al-Syar'iyyah li Malik al-Wahhab
Karya ini ditulis atas permintaan Sultanah Safiyatuddin. Kitab ini dipercayai ditulis pada tahun 1663 yakni setahun selepas beliau kembali ke Nusantara. Kitab ini dipandang sebagai pelopor dalam penulisan fiqh muamalat di nusantara kerana pembahasannya yang cukup luas di bidang ini, yang meliputi masalah-masalah politik, ekonomi, sosial, dan keagamaan (ibadah).

Tarjuman al-Mustafid
Kitab ini merupakan naskah pertama tafsir Al Qur’an yang lengkap berbahasa Melayu.
Terjemahan Hadits Arba'in karya Imam Al-Nawawi
Kitab ini ditulis atas permintaan Sultanah Zakiyyatuddin.

Mawa'iz al-Badî;
Kitab ini berisi sejumlah nasihat penting dalam pembinaan akhlak. Dizaman pemerintahan Sultan Iskandar Shah, Sultan yang memerintah Perak dari tahun 1918 ke 1938, kitab ini telah diterbit semula. Kitab ini telah diterbit dibawah seliaan Wan Abdul Jalil bin Wan Hasan – Orang Kaya Temenggung Paduka Raja, Perak. Tarikh ia diterbitkan semula ialah pada 10 Mei 1936.

Kitab Mawa'izd al-Badi'ah yang diterbit smeula oleh Jahabersa dan ditransliterasi ke Rumi. Kitab ini digabungkan dengan kitab Muhimmah yang ditulis oleh Syeikh Abdullah bin Abdul Rahim al-Fathani

Tanbih al-Masyi
Kitab ini merupakan naskah tasawuf yang memuat pengajaran tentang martabat tujuh.
Kifayat al-Muhtajin ilâ Masyrah al-Muwahhidin al-Qâilin bi Wahdatil Wujud
Kitab ini memuatkan penjelasan tentang konsep wahadatul wujud.

Daqâiq al-Hurf
Kitab ini memuatkan pengajaran mengenai tasawuf dan teologi.
‘Umdat al-Muhtajîn ila Suluk Maslak al-Mufradîn
Kitab ini berisi amalan-amalan yang perlu ditempuhi oleh seorang sufi. Syeikh Abdul Rauf membahagi kitab ini kepada beberapa fasal. Setelah muqaddimah, fasal pertama yang dibahas ialah tentang kewajiban mukallaf untuk mengetahui sifat wajib, mustahil dan jaiz Allah dan sifat wajib, mustahil, dan jaiz bagi Rasul. Fasal kedua membahas tentang adab dan tata cara zikir. Fasal ketiga membicarakan tentang hadith Rasulullah yang berkaitan dengan keutamaan lâ ilâha illâ Allâh; Fasal keempat membahas tentang faedah zikir lâ ilâha illâ Allâh dengan mendalam; fasal kelima berisi penjaelasan tentang talqin guru pada murid dengan lâ ilâha illâ Allâh serta tata cara bai’ah dan talqin; Fasal keenam membahas tentang solat-solat sunnah dan wirid yang harus diamal oleh seorang salik, dan fasal ketujuh membahas tentang sifat-sifat pengikut tarekat dan penjelasan Rasul tentang sifat-sifat mukmin. Syeikh Abdul Rauf turut membahas tentang guru-gurunya, tarekat yang telah ditekuninya, serta murid-murid yang telah belajar padanya sebelum mengakhiri isi kitab tersebut.

Bayan Tajalli
Kitab ini pernah dicetak dibawah label Tabbia’ bi Matba’ah Darr Ikhyak al-Mutub al-Arabiyah pada tahun 1925

Ketika Syeikh Abdul Rauf al-Sinkili kembali ke Aceh, Sultanah Safiatuddin Tajul Alam sedang memerintah di Kesultanan Darussalam Aceh (berkuasa dari tahun 1662 – 1675). Dengan pengetahuannya yang meluas dalam bidang agama, Sultanah telah mengangkatnya menjadi Mufti yang bertanggung jawab memberi nasihat di dalam bidang agama, sosial, dan kebudayaan. Beliau juga bertanggung jawab menyusun kembali Aceh yang hancur akibat perang dengan Portugis di Melaka pada tahun 1629. Menurut perhitungan para sarjana, Syeikh Abdul Rauf Al-Sinkili meninggal dunia pada tahun 1693, ketika berusia 73 tahun. Jasad ulama besar kebanggaan nusantara itu dimakamkan berdekatan masjid Al-Waqib (masjid yang dibangunnya sendiri) di Kuala, tepatnya di desa Deyah Raya Kecamatan Kuala yang terletak sekitar 15 km dari Banda Aceh.

Guru-gurunya
Di Timur Tengah, dikatakan bahawa beliau telah memulakan pengajian di Doha, Qatar, dengan berguru pada seorang ulama besar, Abd Al-Qadir al Mawrir. Ketika di Yaman, Syeikh Abdul Rauf belajar di sebuah kota bernama Bayt al-Faqih dengan keluarga Ja'man. Beberapa anggota keluarga ini terkenal sebagai ahli sufi dan ulama terkemuka seperti Ibrahim Muhammad Ja'man dan Faqih al-Thayyib Abi al-Qasim Ja'man. Sebahagian ulama Ja'man adalah juga murid-murid dari Ahmad Al-Qusyasyi dan Ibrahim al-Kurani yang telah menyarankan kepada beliau agar mencari kedua-dua guru ini untuk menimba ilmu sapabila tiba di Madinah kelak. Guru paling berpengaruh terhadap pemahaman keagamaan Syeikh Abdul Rauf adalah Ibrahim Abdullah Ja'man yang merupakan seorang muhaddith dan faqih. Gurunya ini dikatakan seorang pemberi fatwa yang produktif. Beliau turut mempelajari ilmu hadith dengan Ishaq Muhammad Ja'man yang juga terkenal sebagai muhaddith dan faqih di Bayt al-Faqih. Di Zabid, Syeikh Abdul Rauf menadah kitab kepada Abd Al-Rahim al-Shiddiq Al-Khash, Amin Al-Shiddiq al-Mizjaji dan Abd Allag Muhammad Al-Adani. Sejumlah ulama Yaman seperti Abd Fatah Al-Khash, Sayyid al-Thahit Al-Maqassari, Qadhi Muhammad Abi Bakr Muthayr dan Ahmad Abu Al-Abbas al-Muthayr turut berhubungan dengan Syeikh Abdul Rauf tentang hal-hal ilmiah. Ketika berada di Jeddah, beliau belajar dengan mufti Abd Al-Qadir Al-Bharkali. Selanjutnya di Makkah, Syeikh Abdul Rauf belajar dengan Badr Al-Din al-Luhuri dan Abd Allah Al-Luhuri. Gurunya yang terpenting di Makkah adalah Ali Abd Al-Qadir. Ulama-ulama terkemuka di Makkah yang turut dikunjunginya ialah seperti Isa al-Maghribi, Abd Al-Aziz Al-Zamzani, Taj Al-din Ibn Ya'qub, Ala' Al-Din Al-Babili, Zayn Al-Abidin Al-Thabari, Ali Jamal Al-Makki dan Abd Allah Sa'id Ba Qasyir al-Makki. Madinah adalah destinasi ilmu terakhir Syeikh Abdul Rauf. Di kota tersebut, beliau belajar dengan dua orang ulama terkemuka, Ahmad Al-Qusyasyi dan khalifahnya Ibrahim al-Kurani. Dari Al-Qusyasyi, beliau mendalami ilmu-ilmu dalam (ilm al bathin) yakni tasawuf dan ilmu terkait lainnya. Dari gurunya itu, Syeikh Abdul Rauf beroleh ijazah dan ditunjuk sebagai khalifah Syathariyyah dan Qadiriyyah. Ini sekaligus menandai selesainya pelajaran dalam jalan mistis. Ibrahim Al-Kurani pula banyak menanamkan pendidikan secara intelektual yang berkaitan dnegan akhlak dan ilmiah Islam kepada Syeikh Abdul Rauf. Kedua ulama tersebut menjadi sentral dalam pencarian pengetahuan keagamaan dan kerohanian Syeikh Abdul Rauf. Bahkan tidak berlebihan jika al-Qusyasyi dianggap sebagai guru spiritual dan mistis sementara Al-Kurani menjadi guru intelektualnya.

Mengharmonikan tasawuf dengan bidang lain
Kitab Mawa'iz al-Badî' karangan Syeikh Abdul Rauf dianggap satu percubaan beliau untuk memadukan faham tasawuf dengan faham ortodoks. Syeikh Abdul Rauf berusaha menyerapkan inti ajaran tasawuf khususnya bab akhlak kedalam amalan harian masyarakat. Mawa'iz al-Badî' termasuk dalam kelompok kitab yang diperuntukkan untuk masyarakat umum. Muatan-muatan yang tersaji di dalamnya lebih banyak menekankan nasihat-nasihat penting bagi setiap Muslim seperti berusaha memiliki keyakinan, penghayatan, dan pengamalan agama dengan benar dan kaffah. Sekalipun ditujukan kepada masyarakat awam, namun kandungan Mawa'iz al-Badî' dipandang cukup penting kerana pemahaman isi kandungan didalamnya adalah berkisar mengikut perspektif tasawuf. Intipati isi kandungannya ialah seperti berikut;
(1) ajaran mengenai Tuhan dan hubungan-Nya dengan ciptaan
(2) neraka dan syurga; dan
(3) cara-cara yang layak bagi kaum muslim untuk mendapatkan redha Tuhan.

Dalam kitab ini, Syeikh Abdul Rauf Al-Sinkili secara khusus menekankan perlunya bagi setiap Muslim menyeimbangkan antara pengetahuan ('ilm) dan perbuatan baik ('amal) kerana pengetahuan saja tidak akan membuat seseorang menjadi muslim lebih baik. Muslim yang baik harus melakukan perbuatan-perbuatan yang baik.
Tentang pengajaran yang ada didalam Mawa'iz al-Badî', ia berkisar pada tiga tujuan yang utama, iaitu;
(1) kebencian terhadap segala bentuk dosa atau yang mendorong perbuatan dosa;
(2) kesucian jiwa dari segala sifat dan perilaku tercela (akhlak mazmumah); dan
(3) kedekatan kepada Allah SWT. Dari tiga tujuan ini Mawa'iz al-Badî' memaparkan sejumlah doktrin keislaman yang pada dasarnya bersifat spritual.

Selain Mawa’iz al-Badi’, kitab Mir’at at-Tullab juga merupakan usaha Syeikh Abdul Rauf memadukan tasawuf dengan bidang syariat. Ia merupakan kitab fiqh mu’amalat pertama yang berusaha menunjukkan kepada kaum Muslim Melayu, bahwa doktrin hukum Islam tidak terbatas pada ibadah saja, tapi mencakup seluruh aspek kehidupan sehari-hari. Meskipun kini tidak lagi digunakan, di masa lampau karya ini beredar luas, bahkan pada pertengahan abad ke-19, menjadi salah satu acuan utama hukum Islam di Maquidanao, Filipina. Sumber utama karya ini adalah Fath al-Wahhab karya Zakariyya Al-Anshari. Syeikh Abdul Rauf juga turut merujuk dari Fath al-Jawab dan Tuhfat al-Muhtaj, keduanya karya Ibn Hajar Al-Haytsami (w. 973 H/1565 M), Nihayat al-Muhtaj karya Syams Al-Din Al-Ramli; Tafsir al-Baydhawi karya Ibn Umar Al-Baydhawi (w. 685H/1286 M); dan Syarh Shahih Muslim karya Al-Nawawi (w.676 H/1277 M).

Walaupun Syeikh Abdul Rauf dikenali di Alam Melayu sebagai sufi besar namun karya-karyanya didalam bidang sufi ditulisnya dengan berhati-hati. Beliau sangat berhati-hati dalam menghuraikan sesuatu isi kandungan tasawuf khususnya yang mempunyai tema yang halus dan mendalam kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan dikalangan orang awam. Tambahan pula beliau memegang jawatan Qadhi Malik Al-‘Adil dalam kerajaan dimana sebarang tutur kata, tulisan dan perbuatannya menjadi ikutan masyarakat. Karya-karyanya seperti Tanbih al-Masyi dan Daqa’iq al-Huruf, ditulis dengan berhati-hati.

Contoh sikap berhati-hati Syeikh Abdul Rauf boleh dilihat menerusi karyanya, Syair Ma’rifah ketika menjelaskan makna Man ‘Arafa Nafsahu Fa qad ‘Arafa Rabbahu (barang siapa mengenal dirinya, ia akan mengenal Tuhannya), sebagai berikut:
“Jika tuan menuntut ilmu,
ketahui dahulu keadaanmu,
Man ‘arafa nafsahu kenal dirimu,
Fa-qad ‘arafa Rabbahu kenal Tuhanmu.
Kenal dirimu muhadas semata,
Kenal Tuhanmu kadim Zat-Nya,
Tiada bersamaan itu keduanya,
Tiada semisal seumpamanya”

Syeikh Abdul Rauf jelas memisahkan sifat kekekalan (kadim) Tuhan di satu pihak, dan sifat kemakhlukan (muhadas) manusia di pihak lain secara mutlak.[5] Ini bagi mengelakkan salah tanggap atau kekeliruan kepada si pembaca kerana tema pembahasannya yang sangat halus dan mendalam.

Sebagai penyair, Syeikh Abdurrauf memperlihatkan kepiawaiannya menulis puisi “Syair Ma’rifat”. Salah satu naskah syair ini disalin di Bukit Tinggi tahun 1859. Syair Ma’rifat mengemukakan tentang empat komponen agama Islam. Yakni Iman, Islam, Tauhid dan Ma’rifat. Nampak dalam syair itu unsur ma’rifat sebagai pengetahuan sufi yang menjadi puncak tertinggi.

Dalam puisi itu Abdurrauf mencoba menjelaskan tentang pendekatan amalan tasawuf menurut aliran al-Sunnah wal al-Jamaah.

Jikalau diibarat sebiji kelapa
kulit dan isi tiada serupa
janganlah kita bersalah sapa
tetapi beza tiadalah berapa
sebiji kelapa ibarat sama
lafaznya empat suatu ma’ana
di situlah banyak orang terlena
sebab pendapat kurang sempurna
kulitnya itu ibarat syariat
tempurungnya itu ibarat tariqat
isinya itu ibarat haqiqat
minyaknya itu ibarat ma’rifat

(Syair Ma’rifat: Perpustakaan Universiti, Leiden OPH. No.78, hlm. 9-25/ Dewan Bahasa dan Pustaka, Desember 1992).

Tingkat ma’rifat merupakan tahap terakhir setelah melalui jenjang syariat, tarekat, dan hakekat, dalam perjalanan menuju Allah. Untuk sampai ke tingkat ma’rifat, menurut Abdurrauf, orang harus lebih da­hulu menjalankan aspek syariat dan tarekat dengan tertib. Orang harus melakukan ibadah dengan benar dan ikhlas.

Tentunya ada suasana mistik di sana. Suasana mistik itu akan lebih terasa bila membaca barisan lain dari “Syair Ma’rifat”.
Airnya itu arak yang mabuk
siapa minum jadi tertunduk
airnya itu menjadi tuba
siapa minum menjadi gila
ombaknya itu amat gementam
baiklah bahtera sudahnya karam
laut ini laut haqiqi
tiada bertengah tiada bertepi

Tafsir al-Quran
Syeikh Abdul Rauf dipercayai orang Melayu pertama yang menulis tafsir al-Quran dengan lengkap dalam Bahasa Melayu. Karyanya itu Tarjumân al-Mustafîd, sangat popular di Alam Melayu dan dikatakan beredar luas di wilayah Melayu-Nusantara sehinggalah ke hari ini. Kitab ini juga dikatakan turut diedarkan di Afrika Selatan.[6] Kitab tafsir ini dicetak dimerata-rata tempat seperti Singapura, India, Pulau Pinang, Jakarta dan Timur Tengah. Kali terakhir, karya tafsir ini diterbitkan ialah di Jakarta pada tahun 1981. Tentang isi kandungannya, ianya adalah merupakan terjemahan sebahagian besar dari Tafsir Jalalayn. Ini berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Peter Riddell dan Salman Harun, penyelidik dari Australia dan IAIN Jakarta yang mendapati bahawa Tarjumân al-Mustafîd adalah merupakan terjemahan dari Tafsîr Jalâlayn, kecuali pada bahagian-bahagian tertentu yang dirujuk dari Tafsîr al-Baydlâwî dan al-Khazin. Tafsir Jalâlayn ditulis oleh dua orang ulama terkemuka, Jalâl al-Dîn al-Mahallî (w. 864/1459) dan Jalâl al-Dîn al-Suyûtî yang menjadi salah satu rujukan penting karya-karya para ulama Nusantara.

Tafsir Baidhawi yang diterbit oleh Pustaka Nasional pada tahun 1980-an

[1] Wan Mohd Saghir Wan Abdullah. 2007. Syeikh Abdul Rauf Fansuri pentafsir al-Quran pertama dalam bahasa Melayu. Utusan Malaysia. Terbit pada 3 September 2007
[2] Oman Fathurrahman. 1999. Menyoal Wahdatul Wujud: Kasus Abdurrauf Singkel di Aceh Abad 17. Mizan. Bandung. Hlm 29
[3] Oman Fathurrahman. 1999. Menyoal Wahdatul Wujud: Kasus Abdurrauf Singkel di Aceh Abad 17. Mizan. Bandung. Hlm 29
[4] Azyumardi Azra. 1994. Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII: Melacak Akar-Akar Pembaruan Pemikiran Islam di Indonesia. Mizan. Bandung. Hlm 205
[5] Oman Fathurahman. Abdurrauf Singkel: Ulama Santun dari Serambi Mekkah dalam B. Kristanto (ed.). 2000. Seribu Tahun Nusantara, Jakarta: PT Kompas Media Nusantara, hlm 457-469
[6] Mazlan Ibrahim, Ahmad Kamel Mohamad. 2004. Israiliyyat dalam kitab Tafsir Anwar Baidhawi. Jurnal Islamiyyat 26 (2). Universiti Kebangsaan Malaysia.
sumber : TRAH KRT. HASAN MIDARYO

3 comments:

Anonymous said...

lebih baik diam dari pada berbicara yang bukan2,,sejarah yang kamu tulis itu banyak yang salah..

zezz said...

Mohon koreksinya, bagian mana saja yg perlu diperbaiki..
syukron

Anonymous said...

Asslamu'laikum,,, maaf menulis bografi dan sejarah Ulama Aceh seperti Syech Abdurrauf As-Singkili harusla tepat, saya sedikit bertanya mngenai namanya. ada fansurnya dan As-Singkilinya,, Fansur itu sebuah Kota kecil pada jaman dulu dan sampai saat ini, dan termasuk ilayah sumatra (sibolga) bukanlah singkil, Sedangkan Singkil bukanlah fansur, mohon teliti lagi,,